KUCHING: Rakyat Sarawak diseru untuk tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang rancak diapikan oleh segelintir pihak pada masa kini.
Menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, ekonomi global akan berdepan cabaran besar apabila sentimen tersebut disemarak dan digunakan sebagai modal politik.
Katanya, tindakan yang diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab sedemikian melalui media sosial atau di lapangan boleh mewujudkan suasana tidak sihat, prasangka dan perasaan kurang senang sesama masyarakat.
“Kita tidak mahu sampai ke peringkat tersebut jadi saya memohon dan menyeru semua pihak untuk memelihara keharmonian serta perpaduan yang sedia ada di Sarawak tanpa perlu mengapi-apikan sesiapa untuk kepuasan diri sendiri.
“Sebagai masyarakat yang harmoni, kita harus bekerjasama untuk memastikan kesejahteraan dalam perkauman kita terpelihara.
“Jadi, saya menyeru kepada semua rakyat Sarawak untuk tidak memberi maklum balas kepada perkara-perkara yang disebut oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,”katanya dalam satu sidang media selepas membahas Rang Undang-Undang Bekalan (2023) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis. -Edisi UKAS
Sumber dari : UKAS